Friday, February 25, 2011

Orang kaya yang bakhil

Assalaamualaikum...hai semua...kali ni aku nak share satu kisah yang banyak memberi pengajaran buat kita semua. Kisah ini diceritakan oleh seorang murobbi aku, Dr. Ghazali Darussalam iaitu seorang pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan UM. Sama-sama kita mengambil iktibar daripada kisah ini.

. . . . . .

Di kota Baghdad, Iraq, terdapat seorang yang amat kaya. Mempunyai harta yang tidak terhitung nilainya. Walaupun beliau seorang yang kaya, tetapi beliau mempunyai sifat bakhil. Sangat kedekut orangnya. Pada suatu hari, beliau didatangi seorang yang fakir lagi miskin.

"Wahai tuan, berilah aku sedikit makanan kerana aku sangat lapar", si fakir itu berkata.

"Tidak ada makanan untuk kamu. Pergi kamu dari sini!", katanya dengan begitu angkuh sekali.

Namun, si fakir itu tidak berputus asa. Kali kedua beliau meminta pula segelas minuman. "Kalau begitu, berilah aku segelas minuman buat penghilang dahaga", katanya lagi.

"Segelas minuman pun tidak ada untuk kamu di sini. Nyah kamu dari rumahku!", orang kaya itu berkata tanpa rasa belas kasihan.

Fakir miskin itu tidak juga berputus asa. "Kalau begitu, tuan berilah apa saja harta yang tuan miliki dalam rumah ini".

Jawab orang kaya tersebut : "Baiklah. Adakah kamu nampak sepohon pokok di sebelah pagar rumahku? Maka si fakir itu pun menjawab : "Ya! aku nampak pohon yang dimaksudkan oleh tuan".

"Engkau panjatlah dan ambillah sehelai daun yang paling hujung di pucuk pohon tersebut", kata orang kaya itu lagi.

Maka, si fakir itupun panjatlah pohon tersebut dan memetik sehelai daun yang dimaksudkan oleh orang kaya yang sombong dan kedekut itu. Setelah turun dari pohon itu, si fakir itu pun menunjukkan daun tersebut pada orang kaya itu sambil berkata :

"Inikah daun yang tuan maksudkan itu?", si fakir bertanya.

"Ya! Engkau ambillah daun itu dan aku ikhlas memberikannya pada engkau", orang kaya itu pun menjawab.

Maka, pulanglah si fakir itu dengan daun sehelai di tangannya.

. . . . . .

Ditakdirkan, pada suatu malam, orang kaya itu bermimpi. Beliau bermimpi seolah-olah beliau sudah meninggal dunia. Jenazahnya dimandikan, dikafankan dan disemadikan di tanah perkuburan. Kemudian, selepas itu beliau didatangi malaikat Munkar dan Nakir untuk menyoalnya. Ketika malaikat-malaikat hendak memukulnya, sehelai daun telah melayang datang kepadanya lalu menepis pukulan malaikat Munkar dan Nakir itu. Dipukul sebelah kanan, daun itu menepis, didukul sebelah kiri, daun itu juga menepis. Begitulah berlaku seterusnya. Maka, orang kaya itu pun terselamat daripada terkena sebatan malaikat-malaikat tersebut. Rupanya, daun yang menolongnya itulah yang diberi kepada fakir miskin itu.

Apabila terjaga daripada mimpi, beliau berasa insaf akan sifatnya yang kedekut dan sombong sebelum ini. Setelah itu, orang kaya yang bakhil lagi sombong itu menjadi seorang yang paling dermawan di Baghdad sehingga hartanya yang bertimbun habis disedekahkan kepada fakir miskin di negerinya.

Itulah nilainya sedekah yang disertai dengan keikhlasan hati. Walaupun sedikit, tetapi ia sangat bermakna. Seperti mana hadis Rasulullah SAW, iaitu ketika anak-anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah semua amalan, kecuali 3 perkara iaitu salah satunya adalah sedekah jariah. Oleh itu, aku menyeru kepada diri aku sendiri dan semua, bersedekahlah walaupun sedikit dan ikutlah kemampuan kita. Jangan tunggu kaya baru nak bersedekah kerana kita tak tahu bila kita akan mati. Sekarang...esok...ataupun lusa...kita pun tak tahu. Semoga kita semua menjadi muslim yang mukmin..

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan...jemput singgah selalu ye..hehe!